PEGAWAI-PEGAWAI PENGURUSAN AKADEMIK

26 January 2008

RENCANA PENDIDIKAN

Berikut disertakan rencana yang ditulis dalam Berita Harian:

'Kurikulum sekolah desa perlu dipelbagai'
Oleh Norliza Abdullah

KURIKULUM pendidikan di kawasan pedalaman perlu mempunyai nilai ditambah bagi membolehkan golongan sasar menikmati manfaat daripada pendidikan tambahan untuk dioptimumkan mengikuti persekitaran. Pensyarah Fakulti Pendidikan (FPEND) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Zuria Mahmud, berkata kokurikulum sedia ada hanya memberi manfaat kepada murid arus perdana yang mendapat pendidikan sempurna di kawasan bandar. Beliau berkata, sedangkan sistem yang sama dilaksanakan untuk murid kawasan pedalaman yang ketinggalan dalam pelbagai aspek pembangunan.

Sehubungan itu, katanya, wajar bagi Kementerian Pelajaran menambah nilai kurikulum sedia ada bagi membolehkan ia sesuai kepada semua golongan untuk diguna pakai berdasarkan perkembangan kawasan sekitar. “Nilai ditambah yang diperlukan murid pedalaman antara lain menambah pengetahuan seperti kemahiran insaniah serta pengetahuan keusahawanan yang boleh digunakan pakai dalam kehidupan seharian seperti menjadi lebih baik daripada ibu bapa mereka jika bekerja sebagai petani mahupun nelayan. “Pengetahuan tambahan mengenai penjagaan alam sekitar juga mampu melahirkan insan yang lebih prihatin kepada keharmonian persekitaran,” katanya pada majlis Wacana Kepelbagaian Pelajar: Memperkasakan Keperluan Kanak-Kanak Terpinggir, anjuran Pusat Pendidikan Kepelbagaian Pelajar FPEND, UKM, di Bangi kelmarin.


Guru yang akan dihantar ke kawasan pedalaman juga kata Zuria, perlu menjalani latihan persediaan dalam tempoh waktu tertentu supaya mereka lebih sedia berhadapan dengan persekitaran. Usaha itu kata beliau, memberi peluang guru meningkatkan pengetahuan serta membentuk kreativiti masing-masing dalam menyampaikan maklumat dan pengetahuan kepada pelajar yang begitu terpinggir. Kaedah pengajaran juga katanya, berbeza kerana masing-masing tidak terdedah dengan dunia luar dan persekitaran di bandar jauh berbeza dengan rakan mereka di pedalaman. “Murid terpinggir seperti anak Orang Asli di Semenanjung dan kaum pribumi di Sabah serta Sarawak kebanyakannya tidak boleh menerima sistem pendidikan sedia ada kerana bagi mereka ia tidak memberi manfaat kerana tinggal jauh daripada arus pembangunan.

“Malah sistem pendidikan yang memihak kepada rakan mereka di bandar menimbulkan rasa bosan dan kurang minat kerana tidak dapat diguna pakai dalam kehidupan seharian. “Ini adalah antara hasil kajian yang menyebabkan masyarakat di pedalaman tidak berminat meneruskan pengajian masing-masing. Hasil dapatan juga mendapati hanya satu peratus daripada mereka meneruskan pengajian ke peringkat tertinggi,” katanya.

TINDAKAN PENTING PIHAK SEKOLAH ATAU GURU APABILA HADIR MESYUARAT KURIKULUM DAERAH

Mulai sesi 2008, Pengurusan Akademik PPD Hulu Selangor telah menetapkan perkara penting yang perlu diambil tindakan apabila guru hadir mesyuarat atau taklimat di peringkat PPD Hulu Selangor.

Jika tuan-tuan hadir mesyuarat/taklimat/bengkel/kursus, tuan-tuan akan diberikan minit mesyuarat atau minit curai. Pengetua atau Guru Besar yang hadir akan akan menerima Minit Mesyuarat atau Minit Curai. Pihak tuan-tuan dikehendaki memberikan maklum balas terhadap minit mesyuarat atau minit curai tersebut dalam masa 14 hari selepas menerimanya.

Jika Ketua Panitia atau guru-guru yang hadir mesyuarat atau taklimat mereka perlu menyediakan minit curai masing-masing. Minit curai boleh menggunakan format yang disediakan sekolah masing-masing atau format yang disediakan oleh PPD. Pada masa yang sama guru-guru perlu menyediakan sedikit catatan pada borang maklumbalas yang perlu diserahkan bersama minit curai kepada Pengetua atau Guru Besar masing-masing. Borang maklumbalas ini perlu ditandatangan oleh pentadbir sekolah, menandakan mereka telah maklum semua hal yang diterima oleh guru berkaitan. Maklumbalas ini perlu diserahkan semula ke PPD Hulu Selangor dalam tempoh 14 hari juga.

Semoaga selepas ini, harap pastikan semua guru yang hadir mesyuarat atau taklimat dengan Pengurusan Akademik PPD Hulu Selangor menyerahkan maklumat dan minit curai kepada pentadbir sekolah. Dengan cara ini akan dapat memastastikan semua bahan dan maklumat dapat disebarkan tepat dan sampai kepada guru yang berkaitan. Kita mengharapkan tidak berlaku lagi kecairan maklumat atau maklumat tidak sampai kepada orang yang sepatutnya.

Semoga pelaksanaan penyebaran maklumat ini dapat dilaksanakan dengan baik di peringkat daerah.

PEMBENTANGAN PIHAK SEKOLAH DALAM MESYUARAT KURIKULUM DAERAH

Pihak PPD Hulu Selangor telah menetapkan beberapa buah sekolah untuk membuat pembentangan perancangan kurikulum sekolah masing-masing dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Daerah Kali pertama.

Pada 29.01.2008, semasa mesyuarat di SK Tman Bunga Raya (1), sekolah berikut akan membentangkan perancangan sekolah masing-masing, iaitu:

1. SK Taman Bunga Raya (1)
2. SK Bukit Sentosa.
3. SK Sungai Tengi.

Semoga semua sekolah dapat berkongsi maklumat dan idea bersama-sama dalam mesyuarat berkaitan.

Pada 30.01.2008 semasa mesyuarat di PPD Hulu Selangor sekolah yang akan membentangkan perancangan masing-masing ialah:

1. SJK C Batang Kali.
2. SJK C Khing Ming
3. SJK T Ladang Sg Choh.

Semoga semua sekolah SJK dapat berkongsi maklumat dan idea bersama-sama dalam mesyuarat tersebut.

Semasa mesyuarat pada 31.01.2008 di SMK Dato Hj Kamaruddin, sekolah yang akan membentangkan perancangan ialah:

1. SMK Dato Hj Kamaruddin.
2. SMK Bukit Sentosa.
3. SMK Kg. Soeharto.

Semoga semua sekolah dapat berkongsi maklumat dan idea semasa mesyuarat berkaitan.

Sekolah lain juga dialu-alukan jika terdapat maklumat yang ingin dikongsikan. Sekolah-sekolah yang di senaraikan ini adalah sekolah yang dipilih untuk membentangkan perancangan masing-masing. Pada mesyuarat akan datang sekolah lain akan diminta membentangkan perancangan untuk pusingan kedua.

Laporan daripada Penolong PPD Pengurusan Akademik.