PEGAWAI-PEGAWAI PENGURUSAN AKADEMIK

26 January 2008

RENCANA PENDIDIKAN

Berikut disertakan rencana yang ditulis dalam Berita Harian:

'Kurikulum sekolah desa perlu dipelbagai'
Oleh Norliza Abdullah

KURIKULUM pendidikan di kawasan pedalaman perlu mempunyai nilai ditambah bagi membolehkan golongan sasar menikmati manfaat daripada pendidikan tambahan untuk dioptimumkan mengikuti persekitaran. Pensyarah Fakulti Pendidikan (FPEND) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Zuria Mahmud, berkata kokurikulum sedia ada hanya memberi manfaat kepada murid arus perdana yang mendapat pendidikan sempurna di kawasan bandar. Beliau berkata, sedangkan sistem yang sama dilaksanakan untuk murid kawasan pedalaman yang ketinggalan dalam pelbagai aspek pembangunan.

Sehubungan itu, katanya, wajar bagi Kementerian Pelajaran menambah nilai kurikulum sedia ada bagi membolehkan ia sesuai kepada semua golongan untuk diguna pakai berdasarkan perkembangan kawasan sekitar. “Nilai ditambah yang diperlukan murid pedalaman antara lain menambah pengetahuan seperti kemahiran insaniah serta pengetahuan keusahawanan yang boleh digunakan pakai dalam kehidupan seharian seperti menjadi lebih baik daripada ibu bapa mereka jika bekerja sebagai petani mahupun nelayan. “Pengetahuan tambahan mengenai penjagaan alam sekitar juga mampu melahirkan insan yang lebih prihatin kepada keharmonian persekitaran,” katanya pada majlis Wacana Kepelbagaian Pelajar: Memperkasakan Keperluan Kanak-Kanak Terpinggir, anjuran Pusat Pendidikan Kepelbagaian Pelajar FPEND, UKM, di Bangi kelmarin.


Guru yang akan dihantar ke kawasan pedalaman juga kata Zuria, perlu menjalani latihan persediaan dalam tempoh waktu tertentu supaya mereka lebih sedia berhadapan dengan persekitaran. Usaha itu kata beliau, memberi peluang guru meningkatkan pengetahuan serta membentuk kreativiti masing-masing dalam menyampaikan maklumat dan pengetahuan kepada pelajar yang begitu terpinggir. Kaedah pengajaran juga katanya, berbeza kerana masing-masing tidak terdedah dengan dunia luar dan persekitaran di bandar jauh berbeza dengan rakan mereka di pedalaman. “Murid terpinggir seperti anak Orang Asli di Semenanjung dan kaum pribumi di Sabah serta Sarawak kebanyakannya tidak boleh menerima sistem pendidikan sedia ada kerana bagi mereka ia tidak memberi manfaat kerana tinggal jauh daripada arus pembangunan.

“Malah sistem pendidikan yang memihak kepada rakan mereka di bandar menimbulkan rasa bosan dan kurang minat kerana tidak dapat diguna pakai dalam kehidupan seharian. “Ini adalah antara hasil kajian yang menyebabkan masyarakat di pedalaman tidak berminat meneruskan pengajian masing-masing. Hasil dapatan juga mendapati hanya satu peratus daripada mereka meneruskan pengajian ke peringkat tertinggi,” katanya.

No comments: