PEGAWAI-PEGAWAI PENGURUSAN AKADEMIK

02 December 2007

MALAYSIA BERSAMA UNESCO


Petikan Akhbar. Petikan ini diambil daripada Web Portal Pendidikan Utusan

Malaysia kini ahli Lembaga Eksekutif UNESCO

PELANTIKAN Malaysia sebagai ahli Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menunjukkan pengiktirafan dunia sekali gus menolak dakwaan sistem pendidikan negara ini tidak baik.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, negara luar memandang tinggi kepada Malaysia justeru label tidak baik yang dibuat oleh beberapa pihak dalam negara termasuk akhbar tertentu adalah tidak benar.
``Ini juga memberi peluang kepada Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk menimba pengalaman baru kerana UNESCO turut dianggotai negara-negara maju, dalam hubungan ini kita akan dapat pandangan dan maklumat yang boleh diguna pakai dan memberi pembaharuan yang menguntungkan kepada negara,'' katanya.
Negara juga katanya, akan menjadi pemain utama di peringkat antarabangsa secara tidak langsung imej Malaysia dipertingkatkan di persada dunia.
``Banyak idea baru di peringkat antarabangsa boleh ditingkatkan di negara,kita boleh menjual pendidikan kepada negara luar seperti program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan teknologi komunikasi maklumat (ICT) yang turut menarik perhatian banyak negara sekarang,'' katanya.
Alimuddin juga menegaskan kepelbagaian aliran pendidikan di negara ini dengan mewujudkan sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil turut menjadi kekuatan negara kerana negara lain tidak mampu melaksanakannya.
``Sumbangan Malaysia terhadap pendidikan di peringkat antarabangsa contohnya menjadi tuan rumah persidangan di peringkat antarabangsa juga mendapat perhatian negara luar,'' katanya.
Malaysia juga sering menerima pegawai-pegawai pendidikan, pengetua dan guru besar serta guru daripada pelbagai negara untuk mendapat latihan dan kursus.
``Negara sebenarnya telah menjadi penyumbang kepada pendidikan negara-negara yang memerlukan seperti Acheh, Thailand, Kemboja, Maldives dan beberapa negara Afrika,'' jelasnya.
Beliau turut menjelaskan kewibawaan negara yang menjadi pemimpin negara Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC), Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), aktif dalam negara-negara Komanwel dan Asean memberi gambaran positif negara.
Malah negara lain memandang tinggi pencapaian Malaysia dalam ekonomi, kestabilan politik, sosial penduduk pelbagai kaum yang dapat hidup aman damai.
``Keperibadian Hishammuddin yang telah menarik perhatian perwakilan malah beliau diberi peluang berucap sebanyak dua kali iaitu hari pertama dan ketiga, seterusnya berucap bagi merumus pandangan 40 Menteri Pelajaran seluruh dunia yang berucap sebelumnya,'' katanya.



LAWATAN KE SMK AL-MASHOOR (L) PULAU PINANG

Semasa mesyuarat perancangan ICT tahun 2008 di Pulau Pinang, lima daerah terlibat dalam program ini, iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Sepang, Kuala Langat dan Hulu Selangor. Pada 30 November 2007 semua ahli mesyuarat sempat membuat lawatan ke sekolah di Pulau Pinang.

Saya sempat mengetua rombongan ke SMk Al-Mashoor (L) Pulau Pinang, sebuah sekolah Kluster. Terima kasih kepada pihak sekolah khsnya kepada Tuan Pengetua, Tn Hj Shamsuddin, kerana sudi menerima kunjungan kami walaupun sekolah sedang bercuti.

Kami dari Selangor ingin merakamkan ribuan terima kasih kerana menerima kami. Tidak lupa kepada pihak JPN Pulau Pinang yang membantu dan memberikan kerjasama dalam lawatan kami.

Bagi ahli rombongan, semoga terdapat perkara-perkara baru yang dapat dipelajari daripada lawatan tersebut.