PEGAWAI-PEGAWAI PENGURUSAN AKADEMIK

01 June 2007

MPV adalah subjek yang diuruskan oleh Unit Teknik & Vokasional. Terdapat beberapa subjek ditawarkan di sekolah daerah Hulu Selangor.

1. Mata Pelajaran Katering dan Penyajian (SMK Dato Hj Kamaruddin)
2. Mata Pelajaran Rekaan dan Jahitan pakaian (SMK Kalumpang)
3. Mata Pelajaran Landskap dan Nurseri (SMK Syed Mashor)
4. Mata Pelajaran Tanaman Makanan (SMK Kalumpang)
5. Mata Pelajaran Menservis Automobil (SMK Bdr Baru Btg Kali)
6. Mata Pelajaran Pemprosesan Makanan (SMK Bdr Sg Buaya)

1. Mata Pelajaran Pembinaan Domestik

Mata pelajaran ini bertujuan membekalkan murid dengan kemahiran asas kerja pembinaan batubata dan konkrit yang diperlukan dalam industri pembinaan terutamanya pembinaan rumah.Murid mempraktikkan kerja menerap batu bata dan melepa bata serta kerja konkrit termasuk kerjasimen fero. Murid perlu menguasai kemahiran melakukan kerja kemasan dengan menggunakan cat emulsi dan jubin. Teknik memasang dan menanggalkan peranca (scaffolding) juga didedahkan dengan menekankan kepada penjaminan keselamatan semasa bekerja. Murid yang telah mengikuti mata pelajaran ini boleh menceburi pelbagai jenis pekerjaan dalam bidang pembinaan seperti penerap batu bata atau pelepa lantai/tembuk atau mengusahakan perniagaan sendiri dalam bidang berkaitan.

2. Mata Pelajaran Membuat Perabot

Mata pelajaran ini bertujuan melahirkan murid yang boleh mereka bentuk, membuat dan membaik pulih perabot. Murid menguasai kemahiran menghasilkan kerja kayu pada tahap kemasan sederhana melalui projek sepanjang pembelajaran. Antara produk yang dihasilkan ialah kerusi, rak, meja kecil, bingkai gambar serta pelbagai hiasan dalaman yang menggunakan kayu seperti panel dinding, kabinet dapur, siling dan tingkap. Antara kemahiran yang diberi ialah penggunaan, penyenggaraan alat tangan kerja kayu dan mudah alih, penghasilan pelbagai jenis tanggam, pembinaan projek melalui lukisan kerja. Peluang kerjaya murid yang boleh diceburi termasuk mengusahakan perniagaan sendiri atau bekerja di kedai perabot sebagai pembantu pembuat perabot.

3. Mata Pelajaran Seni Reka Tanda

Mata pelajaran ini digubal untuk membekalkan murid dengan kemahiran dan ketrampilan dalam bidang reka bentuk dan pembuatan tanda sebagai salah satu produk media komunikasi. Murid didedahkan kepada beberapa aspek reka bentuk dengan tumpuan kepada penghurufan (typography), penggunaan simbol-simbol grafik dan piawaian warna dalam menghasilkan kerja. Murid boleh menguasai kemahiran menyediakan projek sebenar bermula daripada penyediaan lakaran pada kertas sehingga penyediaan papan tanda dan teknik pemasangannya. Pengalaman pembelajaran murid termasuk penghasilan lukisan tanda dalam 2D dan 3D kemahiran menggunakan pelbagai teknik manual seperti cat, semburan serta penghasilan lukisan kerja pada pelbagai media seperti kertas, kad, polisterin dan perspek. Penghasilan kerja grafik dengan bantuan komputer (CAS - Computer Aided Signage) juga diperkenalkan. melalui mata pelajaran ini murid boleh menjadi pelukis atau pembantu pereka grafik di kilang grafik dan pengiklanan atau mengusahakan perniagaan sendiri dalam bidang berkaitan.


4. Mata Pelajaran Menservis Peralatan Elektrik Domestik

Mata pelajaran ini berhasrat membolehkan murid membaiki peralatan elektrik domestik. Murid dilatih menggunakan alat tangan dan peralatan ujian dengan menekankan langkah keselamatan dan kaedah yang betul dan berkesan. Murid menguasai kemahiran menguji, mengesan dan mengenalpasti kerosakan serta menyenggara perkakas elektrik di rumah seperti seterika, cerek elektrik, kipas, peti sejuk, alatan audio video. Prospek kerjaya murid termasuk mengusahakan kedai membaiki dan membekal alat elektrik atau bekerja sebagai operator di kilang elektronik

5. Mata Pelajaran Katering Dan Penyajian

Mata pelajaran ini bertujuan melahirkan murid yang mempunyai kemahiran dalam bidang pengendalian dan penyajian makanan. Dalam pembelajaran katering, murid mempraktikkan kemahiran menyedia, memasak, menghias, menghidang dan mengepek makanan pelbagai resipi asas. Dalam pembelajaran penyajian, murid mengenal pasti peralatan menghidang, menyediakan peranggu meja, menggubah bunga, melipat napkin dan mempraktikkan prosedur melayan pelanggan. Dengan kemahiran yang diperoleh, murid boleh berkecimpung dalam bidang katering atau masakan sebagai tukang masak, peramu saji atau pembantu katerer.

6. Mata Pelajaran Rekaan Dan Jahitan Pakaian

Mata pelajaran ini digubal untuk melahirkan murid yang mahir dan berketrampilan dalam bidang pembuatan pakaian. Murid mereka dan melakar pakaian, mendraf pola dan membuat penyesuaian serta menjahit pakaian seperti blaus, skirt, slek, baju kurung dan kebaya. Mereka perlu menguasai kemahiran menggunakan alatan pembuatan pakaian; mengenal pasti, memilih dan mengguna bahan jahitan dan hiasan pada pakaian; dan membuat anggaran perbelanjaan. Dengan kemahiran asas ini, murid boleh menjalankan perniagaan sendiri sebagai tukang jahit, pereka fesyen atau bekerja di kilang pakaian dan fesyen.

7. Mata Pelajaran Landskap Dan Nurseri

Mata pelajaran ini berhasrat melahirkan murid yang boleh menghasilkan anak benih tumbuhan hiasan, menyenggara nurseri tumbuhan hiasan, merancang dan membina lanskap dengan menggunakan teknologi semasa. Murid terlibat dalam kerja-kerja amali di tapak nurseri dan di kawasan perlandskapan. Murid perlu merancang, membina dan menyenggara kawasan landskap sekolah dan industri berkaitan semasa cuti penggal persekolahan. Di antara kemahiran yang didedahkan kepada murid ialah mengenalpasti tumbuhan hiasan yang digunakan dalam industri landskap; melakukan pembiakan tumbuhan; merancang; melukis pelan dan mereka bentuk landskap; membina landskap lembut dan kejur; menyenggara kawasan landskap; dan mengurus perniagaan. Prospek kerjaya yang boleh diceburi oleh murid termasuklah mengusahakan nurseri sendiri atau bekerja di syarikat nurseri atau landskap.

8. Mata Pelajaran Tanaman Makanan

Mata pelajaran ini bertujuan melahirkan murid yang boleh mengusahakan tanaman makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, herba, ulaman dan cendawan. Murid menjalankan kerja amali mengenai kaedah penanaman yang meliputi penyediaan tapak atau kawasan, pembajaan, sistem pengairan, kawalan perosak dan penyakit, pengendalian lepas tuai dan penyimpanan rekod ladang. Murid perlu terlibat dalam kerja-kerja amali dalam penanaman dan penjagaan beberapa jenis tanaman seperti pisang, tembikai, sawi, pegaga, ulam raja dan cendawan tiram. Para lepasan SPM yang mengambil mata pelajaran ini boleh mengusahakan ladang mini buah-buahan dan sayur-sayuran atau bekerja di ladang berkaitan sebagai pembantu juruteknik pertanian.

9. Mata Pelajaran Kerja Paip Domestik

Mata pelajaran ini bertujuan membekalkan murid dengan kemahiran dan pengetahuan dalam kerja pemasangan dan penyambungan pelbagai jenis paip seperti PVC, GI dan poli paip. Murid juga menjalankan kerja menyenggara peralatan paip domestik seperti sinki, basin, shower dan pili. Melalui mata pelajaran ini murid boleh bekerja sebagai juru kerja paip atau membuka perniagaan sendiri.

10. Mata Pelajaran Pendawaian Domestik

Mata pelajaran ini bertujuan membekalkan murid dengan pengetahuan asas teori dan amali dalam bidang pendawaian elektrik. Murid mengamalkan langkah keselamatan dan menguasai kemahiran mengenal pasti saiz dan sambungan kabel, menyambung litar asas, melukis dan mentafsir gambarajah litar satu fasa, menggunakan alat penguji dan memasang litar domestik. Melalui mata pelajaran ini murid boleh bekerja dengan kontraktor pendawaian atau membuka perniagaan sendiri.

11. Mata Pelajaran Kimpalan Arka Dan Gas

Mata pelajaran ini bertujuan membekalkan murid dengan pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai jenis kerja kimpalan. Murid mengamalkan langkah keselamatan dan menjalankan kerja kimpalan dengan menggunakan pelbagai jenis alatan tangan dan mesin. Kemahiran yang dipelajari termasuk proses pemotongan menggunakan gas oksi-asetelina, proses penyediaan bahan dan sambungan serta mengimpal plat dan paip keluli berkarbon. Melalui mata pelajaran ini murid boleh memulakan perniagaan sendiri atau bekerja di industri yang terlibat dengan kerja kimpalan.

12. Mata Pelajaran Menservis Automobil

Mata pelajaran ini bertujuan membekalkan murid dengan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang menservis kenderaan. Murid mengamalkan langkah keselamatan dan menjalankan kerja menggegas serta menggunakan pelbagai peralatan menservis. Murid menguasai kemahiran menservis pelbagai sistem yang terdapat pada kenderaan iaitu sistem penyalaan, penyejukan, pelinciran dan brek. Melalui mata pelajaran ini murid boleh memulakan perniagaan sendiri atau bekerja dalam bidang kerja mekanik menservis kenderaan.

13. Mata Pelajaran Menservis Motosikal

Mata pelajaran ini bertujuan membekalkan murid dengan pengetahuan dan kemahiran dalam kerja mekanik motosikal yang merangkumi kemahiran mengesan kerosakan, menggantikan komponen dan menguji kefungsian motosikal. Murid menguasai pelbagai kemahiran menservis motosikal berkuasa 110 c.c. ke bawah tanpa sistem kluc dan 250 c.c. ke bawah dengan sistem kluc. Murid juga menservis sistem brek, elektrik dan elektronik, tayar, transmisi, dan bahan api. Murid mengamalkan langkah keselamatan semasa menggunakan peralatan. Melalui mata pelajaran ini murid boleh memulakan perniagaan sendiri atau bekerja di bengkel menservis motosikal.

14. Mata Pelajaran Menservis Peralatan Penyejukan Dan Penyamanan Udara

Mata pelajaran ini bertujuan membekalkan murid dengan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang menservis pelbagai peralatan penyejukan dan penyamanan udara. Murid mengamalkan langkah keselamatan dan menjalankan kerja menggegas, penyambungan dan merawat serta mengecas pelbagai peralatan penyejukan dan penyamanan udara. Murid juga mempelajari kerja mengesan kerosakan pada peralatan penyejukan dan penyamanan udara. Melalui mata pelajaran ini murid boleh memulakan perniagaan sendiri atau menceburi bidang kerja mekanik menservis peralatan penyejukan dan penyamanan udara domestik.

15. Mata Pelajaran Pemprosesan Makanan

Mata pelajaran ini membolehkan murid menguasai kemahiran memproses makanan. Murid mengamalkan kemahiran dalam penyediaan, penyimpanan dan pembungkusan pelbagai makanan iaitu konfeksionari, minuman, hasil fermentasi, hasil ikan, hasil daging dan tenusu serta snek. Murid juga membuat pengiraan kos. Kemahiran asas dalam mata pelajaran ini membolehkan murid memulakan perniagaan sendiri atau bekerja di industri makanan ringan.

16. Mata Pelajaran Penjagaan Muka Dan Dandanan Rambut

Dalam mata pelajaran ini murid menguasai kemahiran dan pengalaman menggunakan alat solekan dan dandanan rambut dengan mengamalkan peraturan keselamatan. Kemahiran ini merangkumi mencuci, menjaga, merawat, menggunting, mengkrinting dan mewarna rambut. Murid juga mempelajari kemahiran membela dan merawat muka, solekan asas dan khas serta membela dan menjaga kuku. Kemahiran asas dalam mata pelajaran ini membolehkan murid membuka perniagaan sendiri atau bekerja di industri persolekan dan dandanan rambut.

17. Mata Pelajaran Hiasan Dalaman Asas

Dalam mata pelajaran ini murid menguasai kemahiran dan pengetahuan dalam mengurus dan menyusun atur perabot serta menghias ruang dengan mengamalkan peraturan keselamatan. Kemahiran ini merangkumi pemilihan skim warna, reka bentuk corak dan penataan cahaya. Murid mempraktikkan kemahiran teknik mengecat, memasang kertas penghias dinding, menggubah bunga dan menggantung langsir. Mereka juga menghasilkan artikel hiasan dalaman yang kreatif. Kemahiran asas dalam mata pelajaran ini membolehkan murid membuka perniagaan sendiri dalam industri hiasan dalaman atau bekerja sebagai pembantu pereka hiasan dalaman.

18. Mata Pelajaran Asuhan Dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Murid diberi pendedahan awal kemahiran dan pengetahuan asas dalam pengasuhan kanak-kanak. Murid diberi orientasi pekhidmatan taska dan tadika serta membuat pemerhatain terhadap pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Mata pelajaran ini merangkumi kemahiran menyediakan permainan secara kreatif dan selamat serta menyediakan makanan seimbang. Kebersihan diri kanak-kanak dan persekitaran yang bersih dan selamat dititikberatkan. Murid mempelajari pengurusan sumber dan kewangan serta mengamalkan perhubungan positif dengan kanak-kanak, ibu bapa dan masyarakat. Melalui mata pelajaran ini murid boleh membuka perniagaan sendiri atau bekerja di taska dan tadika.

19. Mata Pelajaran Gerontologi Asas Dan Perkhidmatan Geriatrik

Mata pelajaran ini bertujuan memberi murid pendedahan awal dalam bidang perkhidmatan penjagaan kesejahteraan warga tua. Murid mempelajari kemahiran membantu warga tua dari segi makanan, kebersihan diri, pergerakan, riadah dan rekreasi serta menyediakan persekitaran yang selamat untuk menjaga kesihatan warga tua. Mata pelajaran ini juga merangkumi kemahiran cara menyayangi dan mengambil berat keperluan mental-emosi warga tua, mengeratkan perhubungan positif dan berkomunikasi secara lisan dan bukan lisan dengan warga tua. Melalui mata pelajaran ini murid boleh menceburkan dir i dalam industri perkhidmatan penjagan warga tua dan bekerja sebagai pembantu pusat kebajikan dan kesihatan atau membuka perniagaan sendiri.

20. Mata Pelajaran Akuakultur Dan Haiwan Rekreasi

Mata pelajaran ini bertujuan melahirkan murid yang boleh mengusahakan ternakan ikan air tawar, ikan hiasan dan haiwan rekreasi. Murid menjalankan kerja mereka bentuk perumah, kolam dan akuarium serta membina sistem penapisan air dan pembuangan najis. Mereka melakukan kerja pembenihan ikan serta membiak baka haiwan rekreasi dan tumbuhan akuatik. Murid juga mempelajari cara memilih dan menyediakan makanan. Prospek kerjaya yang boleh diceburi oleh murid termasuklah mengusahakan pusat ternakan akuakultur atau haiwan rekreasi, membekal benih dan aksesori atau bekerja di syarikat akuakultur dan haiwan rekreasi.

21. Mata Pelajaran Produksi Multimedia

Mata pelajaran ini memberi pengetahuan teori, proses dan kaedah penghasilan bahan-bahan multimedia yang menarik dan berkualiti. Pelajar menguasai pelbagai kemahiran yang antara lain termasuk pengendalian komputer, perakam kamera video, kamera (still picture), alat perakam audio dan alat pengimbas imej. Pelajar juga diberi kemahiran menukar format video dan audio dari signal analog kepada digital dan sebaliknya. Penggunaan pelbagai perisian editor grafik, video dan video serta alat pengarangan juga didedahkan. Selepas tamat pengajian, pelajar boleh menceburi bidang pekerjaan yang bersangkutan dengan pengiklanan dan rakaman studio.

22. Mata Pelajaran Grafik Berkomputer

Mata pelajaran ini memberi pengetahuan kepada pelajar tentang pelbagai bentuk grafik serta kaedah penghasilannya dengan menggunakan komputer. Pelajar juga memperoleh kemahiran menggunakan dan mengendalikan komputer serta pelbagai perisian editor grafik yang relevan. Selain itu, pelajar boleh menguasai kemahiran mengguna dan mengendalikan perkakasan lain seperti pengimbas, pencetak, kamera digital. Bidang pekerjaan yang pelajar boleh ceburi oleh pelajar selepas tamat pengajian termasuklah pengiklanan dan studio rakaman

Semoga maklumat ini akan memberikan sedikit kefahaman kepada semua warga pendidik tentang pelaksanaan MPV di sekolah harian.

Disediakan oleh:
KUTVPPDHS
01.06.2007.

SELAMAT BERTUKAR DAN TAHNIAH

KUTV ingin mengucapkan selamat bertugas di tempat baru kepada Tuan PPD Hulu Selangor. Tuan PPD secara rasmi akan bertukar menjadi Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Langat, mulai 01.06.2007.

Walaupun tempoh Tuan PPD, En Mohd. Salleh bin Mohd. Kassim tidak lama di Hulu Selangor, tetapi telah berjaya menerajui Pendidikan di daerah ini dengan baik dan cemerlang. Semua pegawai dan kakitangan di PPDHS selesa bertugas bawah naungan beliau.

Semoga beliau akan lebih selesa berada di tempat yang baru, ditambah lagi faktor jarak yang dihadapi setiap hari telah berkurangan apabila bertugas di PPD Kuala Langat nanti.

Pada masa yang sama setinggi-tinggi tahniah kepada Tn Hj Suhaimi b Rashid, Penolong PPD Sektor Pengurusan Sekolah yang telah dilantik menjadi Tuan PPD Hulu Selangor yang baru. Pengelaman yang luas bertugas di daerah ini dan bertugas di PPD Hulu Selangor sudah pasti akan memastikan kesinambungan tugas akan berjalan dengan baik.

KUTV mewakili pegawai dan kakitangan PPD Hulu Selangor Cawangan, ingin merakamkan tahniah kepada kedua-dua pemimpin kami. Semoga kedua-duanya sentiasa sihat dan bahagia untuk meneruskan tugas dan tanggung jawab masing-masing.

Sekian. Terima kasih.
01.06.2007.