PEGAWAI-PEGAWAI PENGURUSAN AKADEMIK

17 December 2006

KUTV PPDHS

MENGHIDUPKAN PENDIDIKAN YANG BERMAKNA DALAM DUNIA PENDIDIKAN

Saya pernah terbaca pada tulisan Marzita Abdullah yang pernah dikeluarkan di Utusan Malaysia dan dipaparkan juga dalam laman web Pusat Perkembangan Kurikulum. Sehingga hari ini rencana ini masih terdapat di sana.


"satu kajian yang dilakukan terhadap 1000 orang pelajar di sekolah kebangsaan dan agama di Kedah, Johor, pahang, Selangor dan Sarawak menunjukkan minat pelajar yang tinggi terhadap literasi bahasa.

Kajian yang dilakukan oleh Timbalan Dekan Pentadbiran dan Penyelidikan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM) Prof. Mahzan Arshad mendapati guru yang mengajar bahasa lebih berfokuskan kepada peperiksaan"

Adakah ini berlaku dalam pengajaran bahasa sahaja? Rasanya perkara ini juga berlaku pada subjek yang lain. Penekanan terhadap peperiksaan telah berlaku terlalu lama, semenjak zaman penjajahan British lagi perkara ini berlaku.

Adakah dengan pengumuman Kementerian Pelajaran Malaysia bahawa sistem peperiksaan akan dikaji semula mampu mewujudkan pendidikan yang lebih bermakna. Pasti ini bertujuan mengurangkan penekanan berlebihan terhadap peperiksaan pada masa akan datang.

Apabila 10% markah kokurikulum diambil kira untuk kemasukan ke IPTA, sekali lagi kita tertanya-tanya, mampukah perkara ini mengurangkan penekanan terhadap peperiksaan?, Perkara ini hanya melibatkan 10% sahaja . bagaimana 90% lagi?, Apa yang pasti para pendidik tetap mengarahkannya kepada aspek peperiksaan juga. Mungkin terdapat yang akan memberikan tumpuan lebih 10% dalam bidang ini, malah mungkin 50%. Lebih parah lagi jika kokurikulum menguasai dunia pendidikan.

Kita pasti setuju bahawa pendidikan melalui pengajaran & pembelajaran sama ada di dalam kelas atau tempat-tempat lain yang diwujudkan oleh guru adalah aspek yang paling penting.

Dalam hal ini, kaum pendidik seharusnya mengisi pengajaran & pembelajaran dengan aspek yang lebih bermakna. Dengan cara ini anak didik kita akan mendapat kemahiran untuk meneruskan pengajian dan menempuh hidup pada masa akan datang. Kita tidak sepatutnya menjadi penyampai maklumat semata-mata dan terus memberi fokus pada peperiksaan.

Jika kita rujuk pada definasi kurikulum kebangsaan yang tercatat pada Akta Pendidikan 1996, kurikulum adalah satu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi....

Daripada Akta Pendidikan ini kita sepatutnya sedar bahawa pendidikan membawa pentakrifan yang luas. Kita tidak hanya memastikan mereka lulus peperiksaan awam sahaja. Pasti kita tidak mahu generasi yang dilahirkan melalui pendidikan ita, semuanya mempunyai ilmu dikumpul sepenuhnya daripada curahan para pendidik dan dimuntahkan mereka dalam peperiksaan.

Apakah maknanya mereka berjaya alam peperiksaan tetapi gagal menjadi warga negara yang kita harapkan seperti tertera dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Pengajaran & pembelajaran bahasa Inggeris juga sepatutnya dihidupkan dan diberikan perhatian yang serius. Berapa ramai yang pergi bersekolah gagal menguasai bahasa ini walaupun telah melalui tempoh persekolahan yang lama, sehinggalah membawa ke alam kerjaya masing-masing.

Ramai juga anak didik kita boleh menjawab dalam peperiksaan dengan keputusan yang baik. Keputusan yang baik ini adalah hasil daripada dedikasi pendidik memberi fokus ke arah menghadapi peperiksaan. Walau bagaimanapun kita perlu sedar ramai di kalangan anak didik ini gagal menggunakan bahasa ini kerana tidak mendapat ruang dan peluang yang cukup untuk menjadi mahir. Pasti banyak faktor perkara ini terjadi, salah satu daripadanya sudah pasti kerana tumpuan pendidik masih juga pada peperiksaan.

Marilah kita renungkan betapa tingginya kedudukan pendidik dalam dunia pendidikan. ini dapat dipetik daripada hadis yang diriwayatkan oleh Tirmidzi (Iliya Ulumuddin oleh Imam al-Ghazali); Sesungguhnya Allah s.w.t, para malaikat serta penghuni langit dan bumi hinggakan semut yang ada di dalam lubangnya dan ikan yu yang ada di lautan, semuanya memohon rahmat untuk mereka yang mengajar orang ramai ke arah kebaikan.

Kemudahan ICT yang terdapat di sekolah hari ini adalah sebagai kemudahan yang boleh mewarnai pengajaran & pembelajaran guru-guru. Walau bagaimanapun kita tidaklah dituntut sepanjang masa menggunakan kemudahan ini. Namun kreativiti guru semua pasti wujud pengajaran yang bermakna dan berkesan.

Janganlah hendaknya cucu cicit kita menyalahkan kita pada suatu hari nanti dalam hal pendidikan yang kita berikan pada mereka. Marilah kita berfikir bersama-sama, sebagai golongan yang mendokong bidang ini sepenuhnya. Mahukah kita kekalkan segala perkara biasa yang telah kita warisi dan menurunkannya kepada generasi seterusnya, sedangkan kita telah sedar apa-apa yang kita wariskan tidak memadai untuk mereka.

Semoga tulisan secara ringkas ini dapat menyedarkan diri saya dan rakan-rakan lain yang mahu berkongsi bersama-sama. Minta maaf jika terdapat salah dan silap dalam tulisan ini.

Sekian. Terima kasih.

Diusahakan oleh
KUTV PPDHS
17.12.2006