PEGAWAI-PEGAWAI PENGURUSAN AKADEMIK

10 December 2006

MAKMAL KOMPUTER DI DAERAH HULU SELANGOR

Kedudukan makmal Komputer di sekolah-sekolah dan peranan penyelaras makmal

Peranan Penyelaras makmal komputer di sekolah amat besar. Makmal komputer dan peralatan di dalamnya adalah pemberian besar Kementerian Pelajaran Malaysia kepada sekolah, demi untuk melihat murid dan pelajar mendapat kemudahan yang baik dalam pengajaran & pembelajaran terutamanya luar bandar. Hulu Selangor sudah pasti dikategorikan sebagai luar bandar.
Kita semua pasti tidak mahu melihat makmal komputer tidak diuruskan dengan baik. Semoga semua pihak yang berkaitan di sekolah peka dengan hal ini. Semua penyelaras makmal perlu mengambil langkah yang wajar untuk memastikan pengurusan makmal ini berjalan dengan baik dan teratur. Gunakan semua maklumat yang disediakan sebelum ini sebagai rujukan untuk melaksanakan pengurusan yang cemerlang.
Pasti sesiapa yang datang memantau ke sekolah akan sedih apabila melihat makmal komputer tidak terurus. Bagaimana rasa hati pemantau atau sekolah yang dipantau sendiri apabila melihat makmal komputer tidak digunakan dengan baik untuk pengajaran & pembelajaran. Semua ini memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pihak di sekolah. Penyelaras makmal komputer sahaja pasti tidak mampu menguruskan sendirian. Pengurusan makmal komputer yang baik biasanya datang daripada kerjasama yang jitu daripada pihak pentadbir dan AJK yang menguruskannya.
Dalam proses pembestarian sekolah, diharap semua kita yang bertanggung jawab dengan makmal komputer ini dapat bertindak dengan wajarnya. Marilah kita wujudkan makmal komputer yang kondusif dan menjadi tempat kesukaan pelajar. Rasanya sudah ramai guru-guru yang mempunyai kemahiran ICT di daerah ini. Jika peratusan diambil kira, lebih 43% guru-guru telah menghadiri kursus BPPT, pasti mereka mahir menggunakan kemudahan ICT untuk pengajaran & pembelajaran, dan lebih 90% telah ada kemahiran asas ICT. Pentadbir sekolah, seharusnya bergerak bersama-sama dengan jawatankuasa ICT dan makmal komputer sekolah untuk memastikan makmal komputer diuruskan secara cemerlang. Guru-guru sudah mempunyai kemampuan untuk melakukan pengajaran & pembelajaran menggunakan kemudahan ICT, gembelingkan semua sumber tenaga pendidik yang ada supaya makmal komputer benar-benar nampak digunakan secara optimum.
Pada sesi 2007, pertandingan pengurusan makmal komputer akan akan dilaksanakan. Pemantauan akan terus dilaksanakan oleh pihak PPD dan JPNS. Walau bagaimanapun janganlah pengurusan makmal ini hanya dilaksanakan kerana pertandingan semata-mata. Uruskanlah makmal komputer ini secara berterusan.
Semoga program ICTL sekolah rendah yang berjalan sekarang dapat menggerakkan semua pendidik menggunakan kemudahan yang tersedia. Janganlah ada di kalangan pendidik berkenaan menjalankan pengajaran program ini di dalam kelas biasa. Program yang sama akan dilaksanakan di sekolah menengah pada sesi 2007, kita juga berharap program ini dapat menggerakkan semula penggunaan makmal komputer di sekolah.
Dengan rasa penuh tanggung jawab, saya memohon kerjasama semua dalam hal ini. Bagi rakan-rakan penyelaras yang telah menggerakkan pengurusan mereka lebih awal, tahniah diucapkan. Walau bagaimana pun tidaklah patut kita terhenti di situ sahaja. Kita sebenarnya dituntut untuk melakukan penambahbaikan terhadap segala aspek. Tidak ada perkataan 'mantain' dalam pengurusan pendidikan jika kita rujuk kepada konsep kepimpinan instruksional. Setiap kejayaan yang tersedia pun seharusnya dipastikan ada penambahbaikan terlaksana. Apatah lagi jika masih tidak mencapai tahap yang sepatutnya.
disediakan oleh
KUTV PPDHS
10.12.2006

KURSUS BPPT DAERAH HULU SELANGOR

PESERTA KURSUS BPPT AMBILAN 18
DI SMK SYED MASHOR, BATANG KALI.
TARIKH: 04-15 DISEMBER 2006

Assalamualaikum dan selamat sejahtera...
Kepada semua rakan guru yang menghadiri kursus BPPT ambilan 18.


Saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih tidak terhingga kepada semua kerana sanggup untuk hadir kursus BPPT ini. Saya percaya semua guru yang hadir adalah rakan pendidik yang sanggup berkorban demi kemajuan pendidikan yang kita sayangi.
Sudah pasti banyak ilmu dan kemahiran yang tuan-tuan dan puan-puan peroleh semasa berada selama 10 hari berkursus. Saya percaya, semua yang didapati semasa kursus dapat meningkatkan profasionalisme kita dan sekali gus pasti dapat menangkis segala sangkaan buruk terhadap kemampuan para pendidik selama ini.
Aplikasikan segala ilmu yang diperoleh kepada tugasan setiap hari kita sebagai pendidik. jangan lupa untuk terus menambah dan meningkatkan kemahiran tuan-tuan dan puan-puan seterusnya. Saya berharap kursus ini bukanlah satu penyudah kepada kita dalam mencari ilmu dan kemahiran dalam menagani dunia pendidikan yang makin mencabar.
Saya amat berharap semua yang tuan-tuan dan puan-puan peroleh dapat dilihat dengan jelas dalam pengajaran & pembelajaran di dalam kelas. Saya pasti kita perlu beranjak dan mengubah paradigma kita. Jadikanlah diri kita sebagai pendidik yang sentiasa dinanti-nanti oleh anak didik kita di sekolah. Jadikan diri kita individu yang sentiasa dirindui semasa kita tiada di sekolah. Percayalah bahawa kita pasti dijadikan contoh jika berusaha menjadikan diri kita insan yang patut dicontohi. Semoga mereka mencontohi perkara-perkara yang positif.
Selamat bercuti. Selamat meneruskan tugas kita sebagai pendidik. Jangan lupa sesi 2007 akan hadir tidak lama lagi. Jadikan segala peristiwa dan catatan 2006 sebagai catatan yang boleh dirujuk sama ada sebagai contoh atau teladan.
Saya amat memerlukan respon dan maklum balas daripada tuan-tuan dan puan-puan selama berada selama 10 hari di tempat kursus. Nyatakanlah apa-apa sahaja pandangan tentang kelebihan, kekurangan yang diperoleh semasa berkursus.
Kepada kedua-dua orang trainer, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih banyak-banyak kerana sanggup memcurahkan ilmu dan memberikan tunjuk ajar kepada rakan-rakan guru di daerah Hulu Selangor.
Jumpa lagi di sesi 2007. InsyaAllah. Jangan lupa lawati blog ringkas yang saya wujudkan ini.
http//rorokiza.blogspot.com
KUTV PPDHS
10.12.2006.