PEGAWAI-PEGAWAI PENGURUSAN AKADEMIK

05 August 2008

PEMANTAUAN AKADEMIK PPDHS KE SJK C BUKIT FRASER

Pada 4 Ogos 2007 (Isnin), Pengurusan Akademik telah berkunjung ke SJK C Bukit Fareser. Saya ( Rozali) dan pegawai-pegawai Akademik iaitu En Aznan bin Kasan (KU Sains Matematik), En Hasren bin Damiri (Penyelia KBSR) dan En Samsudin bin Ahmad (Penyelia j-Qaf) sempat ke Bukit Freser. Kami bertolak dari pejabat pada pukul 6.30 pagi. Perjalanan kami melalui hujan renyai.

Minta maaf kepada ketiga-tiga rakan yang lain kerana saya tidak dapat bertahan dalam perjalanan ini. Semasa perjalanan pergi beberapa kali kereta terpaksa dihentikan kerana saya mabuk dan muntah. Nasib baik perut masih kosong. Muntah yang keluar hanyalah air sahaja.

Perjalanan 1 jam itu sungguh menyiksakan bagi saya. Apabila sampai hujan masih renyai. Kami datang awal dengan hajat untuk melihat perjalanan perhimpunan pagi. Perhimpunan pagi tidak dapat dijalankan oleh pihak sekolah kerana hari masih hujan renyai.

Saya masih tidak bermaya waktu sampai ke sekolah ini. Ketiga-tiga pegawai yang lain menjalankan pemantauan beberapa perkara yang berkait dengan Kurikulum. Pada hari ini murid-murid sedang menjalani Ujian Bulanan.

Pegawai-pegawai yang hadir menyemak fail-fail panitia. En Hasren turut menyemak perkara berkait dengan kewangan yang terdapat dalam instrumen pemantauan perhimpunan pagi yang disediakan oleh Sektor Pengurusan Sekolah.

Hasil perbincangan En Aznan dengan seorang guru, guru berkenaan setuju untuk menyediakan pengajaran & pembelajaran Sains Tahun 3. Kelas ini hanya terdapat 3 orang murid. Pengajaran guru berkenaan amat baik dan cemerlang. Gurunya kreatif.

Buat pengetahuan ramai, sekolah ini hanya mempunyai 8 orang murid semuanya. Tidak ada murid tahun Satu. Gurunya seramai 5 orang, termasuk Guru Besar. Sebagai sekolah Kurang Murid (SKM) begitulah keadaannya. Namun yang menariknya sekolah ini tetap mempunyai Pusat Sumber / Perpustakaan. Terdapat Bilik Kemahiran Hidup yang boleh dijalankan pengajaran & pembelajaran di dalamnya.

Terdapat Bilik komputer PIBG. Bilik ini diletakkan 4 buah komputer yang boleh digunakan. Rasanya kelengkapan ICT tidak menjadi masaalah di sekolah ini. Pada masa pemantauan 1 orang murid tahun 6 sedang menjawab soalan ujian yang disediakan oleh guru dalam komputer. Setidak-tidaknya komputer tetap digunakan di sekolah ini. Tahniah untuk itu.

Tukang kebun menyediakan tanaman sayuran di kawasan sekolah. Terdapat tanaman sayur kailan. beberapa buah batas sudah disediakan untuk ditanam dengan sayuran.

Apabila selesai pemantauan, kami terus menyediakan laporan pemantauan pada hari tersebut untuk diserahkan kepada pihak sekoloah. Pada pukul 1 tengah hari kami sempat berbincang dengan Guru Besar dan guru-guru sekolah. Kami membentangkan dapatan pemantauan kepada mereka. Pada masa yang sama mereka memberikan respon terhadap beberapa perkara.

Pada pukul 2.15 petang kami mula bergerak turun. Jika kami gagal turun pada masa itu dan melepasi pukul 2.40 petang bererti kami perlu menunggu hingga pukul 4 petang untuk turun kerana jadualnya memang seperti itu.

Bagi saya perjalanan balik lebih menyiksakan. Dalam keadaan perut yang sudah berisi, mabuk saya mengundang padah. Saya muntah, mungkin tidak kurang 10 kali kereta berhenti untuk melayan keadaan saya yang tidak tahan dengan mabuk perjalanan yang bengkang bengkok. Ini merupakan pengalaman yang cukup tidak dapat dilupakan sepanjang saya bertugas di PPD Hulu Selangor.

Kami masih berharap sekolah ini, SJK C bukit Freser akan mencapai keputusan 100% dalam UPSR tahun 2008, dengan berbekalkan seorang calon sahaja. Jika murid ini gagal 1 mata pelajaran, bererti keputusan peperiksaan sekolah akan menjadi 0%. Semoga ini tidak berlaku.

Aapabila sampai di Kuala Kubu Bharu semula barulah keadaan reda terutama saya yang sedang mabuk.

PEPERIKSAAN PERCUBAAN PMR TAHUN 2008

Peperiksaan Percubaan PMR untuk semua sekolah di negeri Selangor telah ditetapkan pada 11-15 Ogos 2008. Kepada semua pelajar daerah Hulu Selangor, jadikan peperiksaan ini sebagai menentukan kemampuan dan segala persiapan yang dibuat selama hari ini mendatangkan hasil yang baik. Jika tidak memuaskan, ruang yang tinggal sebelum PMR yang sebenar perlu digunakan untuk memastikan segala kekurangan dibaiki.

Kepada semua yang mengajar khasnya di kelas-kelas tingkatan 3, ruang masih ada untuk membaiki kelemahan anak didik kita. Marilah kita berdoa semoga semua murid kita akan berjaya dengan cemerlang. Usahakanlah sehingga ke hari yang terakhir. Usaha tuan-tuan dan puan-puan yang bergelar guru pasti akan dikenang oleh mereka hingga ke akhir hayat. Itulah kelebihan insan yang bergelar guru. Bakti mu pasti akan dikenang. Percayalah.

Bagi murid yang lemah dan kerap gagal dalam peperiksaan merteka, usahakanlah sebaik mungkin supaya sekurang-kurangnya mereka lulus pada tahap minimum. Jika murid kita sentiasa baik keputusan peperiksaannya, pastikan mereka akan cemerlang.