PEGAWAI-PEGAWAI PENGURUSAN AKADEMIK

26 August 2008

SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL 2/1981

KETETAPAN MASA DI SEKOLAH-SEKOLAH


Semua pegawai perkhidmatan pelajaran dan kakitangan sekolah dan murid-murid diwajibkan memelihara dan mengekalkan amalan menepati masa datang dan hadir di sekolah.

Inilah bunyi ayat pertama dalam Pekeliling Ikhtisan Bil 2/1981. Sudah lama pekeliling ini diedarkan ke semua sekolah. Ini bererti terdapat kalangan guru, kaki tangan sekolah dan pelajar sebelum itu yang biasa datang lewat ke sekolah.

Para pelajar datang lewat memang biasa dilihat di mana-mana sekolah, tidak kira sekolah bandar atau luar bandar. Saban masa kita melihat para pelajar datang lewat akan didenda oleh pihak sekolah. Semoga budaya lewat atau tidak menepati masa ini tidak menjadi ikutan pelajar hingga menjadi warga masyarakat. Denda yang dikenakan adalah bertujuan untuk mendidik mereka. Persoalannya adakah guru-guru dan kaki tangan pejabat menepati masa mereka?. Pekeliling ini merangkumi semua warga di sekolah.

Dengan demikian Guru Besar hendaklah menyedarkan guru-guru, kakitangan dan murid-murid tentang perlu dan pentingnya amalan ketetapan masa.

Peranan Guru Besar atau Pengetua ialah menyedarkan orang di bawah jagaannya supaya mementingkan amalan ketepatan masa. Perkara ini perlu disebut dalam perhimpunan di sekoloah. Kenyataan ini perlu ditegaskan dalam mesyuarat-mesyuarat di kalangan guru dan kaki tangan di sekolah. Mereka sendiri perlu menjadi contoh kepada semua orang. Orang akan melihat perkara yang selalu disebut iaitu kepimpinan melalui teladan.

Adalah diharapkan semua guru diingatkan dari masa ke masa tentang tanggung jawab mereka untuk mengamalkan ketepatan masa sepanjang waktu bertugas di sekolah, baik semasa datang ke sekolah atau balik dari sekolah, mahu pun semasa memasuki bilik darjah untuk mengajar atau menjalankan sesuatu kegiatan di luar bilik darjah. Ketetapan masa juga bermakna seorang guru juga hendaklah mengikut jadual pengajarannya dan tidak boleh meninggalkan kelasnya atau kawasan sekolah sebelum tiba masa untuk berbuat demikian.

Jika diamati dalam pekeliling ini ketetapan masa atau waktu bukan sahaja melibatkan waktu datang dan balik dari sekolah atau datang atau balik daripada menjalankan tugas di sekolah, tetapi perkara yang lebih bertumpu kepada pengajaran & pembelajaran. Ini termasuk semasa masuk ke kelas untuk mengajar atau mungkin menjalankan tugas berkaitan di luar bilik darjah. Guru tidak boleh meninggalkan kelasnya sebelum tiba waktu sebenar.

Peraturan-peraturan mengenai ketepatan masa hendaklah dikenakan selain dan murid-murid, juga kepada semua guru dan pekerja di sekolah. Guru-guru khasnya hendaklah memberi contoh teladan yang baik sekiranya mereka ingin menggalakkan tabiat ketepatan masa di kalangan murid-murid mereka.

Dalam pendidikan guru amat penting dalam memberikan contoh. Amalanyang baik daripada guru pasti akan menjadi contoh mereka. Pelajar pasti suka mencontohi orang lain yang rapat dengan mereka. Guru adalah antara insan yang paling lama bersama pelajar dalam tempoh sehari. Dari pagi lagi, 7.15 pagi sebagai contoh, telah melihat guru mereka datang lebih awal. Pasti terfikir di benak mereka contoh baik ini elok diikuti. Sepanjang masa pertukaran waktu guru mereka dapat melihat contoh yang baik. Semua ini akan menjadi amalan mereka juga akhirnya. Adalah malang jika mereka mengikut perkara nagatif, tidak menepati masa kerana melihat dan mencontohi guru mereka sendiri.