PEGAWAI-PEGAWAI PENGURUSAN AKADEMIK

02 January 2007

SELAMAT MEMULAKAN SESI 2007

Pada 03 Januari 2007 bersamaan 13 Zulhijjah 1427 bermulalah sesi persekolahan 2007

Selamat kembali menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing, kepada warga pendidik di daerah Hulu Selangor.

Kita semua baru selesai melalui Hari Raya Kurban. Pasti telah ramai rakan pendidik yang telah selesai menjalani ibadat ini. Semoga mereka akan selamat kembali ke tanah air. Bagi yang tidak ke tanah suci Mekah, mereka menjalani ibadat kurban di tanah air.

Perkara yang paling penting daripada ibadat ini, pasti kita dituntut untuk terus berkorban dalam bidang pendidikan. Kaum pendidik pasti dituntut untuk melakukan sedikit pengorbanan semasa menjalankan tanggungjawab. Marilah kita fikirkan bersama-sama, apakah kita telah mengorbankan tenaga kita, malahan memang dituntut, memberikan komitment dalam tugas kita.

Adakah benar-benar kita telah melaksanakan tanggungjawab kita sepenuhnya, atau mungkin hanya sekadar yang sepatutnya sahaja. Apa yang terhasil pastilah berkait dengan apa sahaja yang kita usahakan. Jika sedikit usaha, pastilah hasilnya tak seberapa juga. InsyaAllah, saya ingin mengingatkan diri saya dan semua, Allah akan memberikan balasan yang sepatutnya dengan segala pengorbanan yang kita lakukan.

Pada tarikh yang sama kita disambungkan dengan tanggal 01 Januari 2007. Menjelang tahun baru ini pelbagai perayaan dilakukan, kadang kala jika diteliti semuanya tidak lebih daripada hiburan semata-mata. Paling malang jika sambutan kita menyimpang daripada kehendak agama dan adat orang timur sendiri.

Tahun baru juga masing-masing menanam azam baru. Ada yang war-warkan azam masing-masing di radio dan alat media yang lain. Kadang kala terlintas difikiran ini, azam yang dikemukakan hanya memenuhi tuntutan masa sahaja. Apabila, mulanya hari-hari mendatang azam yang dilafazkan hanya tinggal begitu sahaja.

Azam atau tekat ini sama seperti menanam tumbuh-tumbuhan yang kita harap membuahkan hasil. Jika setakat ditanam tanpa dibaja pasti hasilnya tak begitu memuaskan hati. Ada juga tanaman yang ditanam itu tidak hidup, apatah lagi hendak mengeluarkan hasil. Azam tahun baru juga memerlukan pelaksanaan sepenuh hati. Pada masa inilah pengorbanan kita diperlukan.

Saya berharap semua warga pendidik, khususnya guru-guru bidang teknologi & vokasional akan meneruskan tanggungjawab masing-masing dengan lebih baik. Semoga segala kesilapan dan kekurangan pada sesi 2006 yng lalu dapat kita baiki bersama-sama. Semoga sesi 2007 akan membuahkan hasil yang menggembirakan kita semua.

Semoga hidup kita sebagai pendidik akan sentiasa dirahmati Allah hendaknya. Berikan pendidikan yang terbaik kepada anak didik kita, sesuai dengan tuntutan agama dan matlamat Kementerian Pelajaran.Marilah kita berikan yang terbaik sebagaimana kita mengharapkan pendidik lain mendidik anak-anak kita atau adik-adik kita, mungkin semua waris kita.

Selamat bertugas kembali. Selamat memulakan tugas di daerah ini bagi rakan-rakan guru yang baru bertukar ke daerah ini.

Sekian, terima kasih.
KUTV PPDHS
02.01.2007
12 Zulhijjah 1427.