PEGAWAI-PEGAWAI PENGURUSAN AKADEMIK

28 September 2008

ANALISIS PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2008 DAERAH HULU SELANGOR

Hari ini semua warga pendidikan, seluruh Malaysia termasuk daerah Hulu Selangor pasti sudah memulakan cuti Hari Raya Aidilfitri masing-masing. Selamat berhari raya di mana-mana sahaja tuan-tuan dan puan-puan berada. Saya ingin mengingatkan semula semua guru dan sekolah menengah daerah ini perkara yang perlu dibereskan.Para pelajar kita baru sahaja menamatkan peperiksaan pada 26 September 2008. Maka bermulalah tugas tuan-tuan untuk menanda kertas jawapan pelajar.

Pihak sekolah diingatkan supaya memastikan tugas ini terlaksana pada masa yang lebih awal daripada proses memasukkan markah ke dalam Sistem Analisis Peperiksaan (SAP). Perlu dingatkan sekali lagi kita perlu menggabungkan analisis setiap sekolah pada 21 Oktober 2008. Satu perjumpaan (mesyuarat ) tentang ini akan diadakan di SMK Bandar Sungai Buaya.

Saya amat berharap supaya pada tarikh tersebut semua perkara ini dapat dipastikan penggabungan data dapat dilaksanakan, supaya penggabungan peringkat negeri tidak terganggu. Semoga tugas ini diambil perhatian dan diambil tindakan mengikut ketetapan tarikh berkenaan. Surat untuk tujuan 21 Oktober ini telah diedarkan kepada semua sekolah.

Selamat berpuasa dan selamat hari raya aidil fitri, maaf zahir batin kepada semua yang beragama Islam.

26 September 2008

CUTI HARI RAYA AIDIL FITRI

Assalamualaikum

Hari ini Jumaat, 26 September 2008. Kebanyakansekolah akan mula bercuti esok 27 September 2008 (Sabtu) hingga membawa kepada cuti Hari Raya pada 1 dan 2 Oktober 2008. Terdapat sekolah akan bercuti tambahan pada 3 Oktober 2008 (Jumaat). Pasti cuti akan bertambah hingga 5 Oktober 2008 (Ahad). Sesi persekolahan hanya akan bermula pada 6 Oktober 2008 (Isnin).

Selamat bercuti, bagi yang bergerak jauh bercuti di kampung saya doakan selamat dalam perjalanan masing-masing ke destinasi. Pastikan semua keadaan selesa dan selamat sepanjang bercuti. Tidak lupa sekali lagi Selamat Hari Raya Aidil Fitri.

Jangan lupa untuk pulang menjalankan tugas semula. Rasanya banyak lagi perkara yang perlu tuan-tuan dan puan-puan beres dan laksanakan. Bayangkan pada 13 Oktober 2008, Peperiksaan PMR akan bermula. Masih ada sedikit ruang untuk itu. Nasihatkan semua pelajar dan murid-murid kita supaya menjaga diri dan bersedia untuk peperiksaan. Sambutlah hari raya, pada masa yang sama jangan abaikan tanggung jawab masing-masing untuk menyediakan mereka untuk menghadapi peperiksaan. Saya berdoa semoga semua pelajar akan berjaya.

Selamat berpuasa dan selamat menyambut Hari Raya di kampung halaman masing-masing.

25 September 2008

KELONGGARAN PENETAPAN TARIKH PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN 2008

Surat edaran Jabatan Pelajaran Selangor telah dimasukkan ke peti surat sekolah di PPD atau diedarkan terus melalui Pengetua atau wakil yang hadir mesyuarat pengurusan sekolah pada 25 September di SMK bandar Sungai Buaya. Saya tuliskan semula ayat-ayat dalam surat yang terbaru:

JPNS/SPA/MLY/A25089/10/01Jld 2(80) bertarikh 24 September 2008.

......................................................................

2. Dengan segala hormatnya dimaklumkan bahawa pihak Jabatan Pelajaran Selangor tiada halangan untuk memberikan kelonggaran berhubung pentarikhan baharu Peperiksaan Akhir Tahun 2008.

3. Sehubungan dengan itu, jadual penyeragaman tarikh Peperiksaan Akhir Tahun 2008 yang terdahulu adalah dimansuhkan. Pihak sekolah dibenarkan menentukan tarikh peperiksaan dengan mengambil kira faktor situasi semasa.

4. Pihak Jabatan ingin memaklumkan bahawa proses pengajaran dan pembelajaran MESTILAH dilaksanakan sehingga akhir sesi persekolahan tahun 2008. Pegawai-pegawai daripada Jabatan Pelajaran Selangor dan Pejabat Pelajaran Daerah akan melakukan pemantauan pematuhan berhubung dengan arahan terbaharu.

Ulasan saya, Penolong PPD Pengurusan Akademik:

Daerah Hulu Selangor akur dengan siaran yang terbaharu ini. Sekolah menengah tidak menghadapi masalah. Peperiksaan tidak diselaraskan oleh itu semuanya bergantung kepada keputusan dan kebijaksanaan Pengetua.

Sekolah Rendah agak ada sedikit masalah kerana persetujuan majlis Guru besar untuk mengadakan peperiksaan selaras. Kita tidak boleh menyerahkan penjadualan seolan selaras kepada semua sekolah. Oleh itu jadual selaras akan diusahakan oleh PPD. Penyelia KBSR, En Hasren bin Damiri sedang membuat ubahsuai jadual selepas berbincang dengan Majlis Guru Besar.

Semoga tidak timbul masalah lagi daripada sekolah-sekolah daerah ini.

20 September 2008

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

PADA BULAN YANG MULIA INI, SAYA INGIN MENGAMBIL KESEMPATAN UUNTUK MENGUCAPKAN:

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR BATIN KEPADA SEMUA WARGA PENDIDIKAN DAERAH HULU SELANGOR YANG SAYA HORMATI, KHUSUSNYA;

TUAN HJ SUHAIMI (PPD HULU SELANGOR)
SEMUA RAKAN DI PPD HULU SELANGOR
SEMUA PENGETUA DAN GURU BESAR
SEMUA PENOLONG KANAN
SEMUA GURU YANG DIHORMATI
SEMUA KAKITANGAN PENDIDIKAN
SEMUA PELAJAR DAN MURID DAERAH HULU SELANGOR.

SEMOGA HARI RAYA TAHUN INI AKAN MENDATANGKAN LANGKAH YANG LEBIH BAIK UNTUK SESI LEPAS HARI RAYA DAN SESI TAHUN AKAN DATANG.

MAAF ZAHIR BATIN

18 September 2008

PCG PELAJARAN TEKNIKAL SEKOLAH MENENGAH

KPM dan JPN selangor memerlukan maklumat segera tentang PCG mata pelajaran teknikal. Surat telah diedarkan kepada semua sekolah menengah pada hari Khamis dan difaks ke semua sekolah menengah.

Harap penuhkan borang yang disediakan. Terus faks kepada Unit Teknik & Vokasional JPN Selangor pada no faks 03-55120932. Pastikan bahan ini difaks pada 19 September 2008 (Jumaat)

Harap dapat disediakan dengan segera, walaupun makluman yang dihantar oleh JPNS agak lewat. Demi kepentingan semua, rasanya pihak sekolah dapat menyediakan maklumat ini dengan segera.

15 September 2008

TAKLIMAT PROJEK RINTIS INTERACTIVE EVALUATION SYSTEM (IES)

Taklimat tersebut dijadualkan pada:

16 September 2008.
Blok E12, Aras 9, Parcel E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.
9.00 pagi.

Hulu Selangor akan diwakili oleh SK Hulu Bernam. Dalam taklimat ini pegawai yang dipanggil untuk hadir ialah:

1. Seorang wakil daripada setiap PPD yang terlibat.
2. Guru Besar sekolah berkaitan.
3. Seorang guru penyelaras projek.
4. Seorang guru penyelaras ICT.

Wakil sekolah SK Hulu Bernam diharap maklum akan maklumat ini. Sila hubungi Penolong PPD Pengurusan Akademik jika terdapat pertanyaan awal tentang program ini. Tuan-tuan boleh juga menghubungi nama-nama yang dinyatakan dalam surat edaran Jabatan Pelajaran Selangor tersebut.

Semoga kehadiran tuan-tuan akan memudahkan pelaksanaan program ini di sekolah tuan kelak.

14 September 2008

PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN 2008

Satu surat siaran daripada Pengarah Pelajaran Selangor telah diedarkan pada hari Khamis (4 September 2008). Surat siaran ini penting untuk diambil tindakan dan dipatuhi oleh semua sekolah di daerah ini. Ini bertepatan dengan hasrat KPM supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan baik hingga ke hujung persekolahan. Kita tidak mahu dengar dan lihat pelajar dan murid sekolah tidak datang ke sekolah (ponteng) semata-mata kerana peperiksaan akhir tahun sudah berjalan lebih awal.

Jika pihak sekolah tidak menerima surat siaran ini harap hubungi PPD Hulu Selangor untuk mendapatkannya semula.

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2008

Peperiksaan UPSR 2008 telah selesai dilalui oleh semua murid tahun 6 2008. Apa yang boleh dibuat oleh mereka hanyalah berdoa semoga mendapat keputusan yang baik. Walau bagaimanapun pendidikan mereka bukanlah tamat di situ sahaja. Masih banyak keperluan pendidikanj yang perlu mereka lalui lagi.

Peperiksaan PMR sebenar akan bermula pada 13 Oktober v2008, tidak sampai sebulan lagi. Ada ruang untuk baiki kelemahan. Semua guru diharap dapat menggunakan masa yang singkat ini sebaik mungkin. Semoga semasa menghadapi PMR nanti semuanya sihat dan dapat menjawab dengan baik.

Calon SPM 2008 daerah Hulu Selangor masih menghadapi peperiksaan Percubaan. Selepas percubaan diharap dapat membuat pecutan terakhir ke arah peperiksaan sebenar yang akan bermula pada 12 November 2008. Peperiksaan percubaan daerah akan tamat pada 26 September 2008. Selepas itu para calon akan menghadapi perayaan Hari Raya Aidilfitri. Walau bagaimanapun janganlah lupakan terus bahawa masing-masing akan menghadapi peperiksaan SPM yang penting pada bulan November.

Bagi guru-guru yang mengajar di tingkatan 5, selain tugas menyediakan para pelajar untuk peperiksaan, jangan lupa markah percubaan perlu disediakan pada pertengahan Oktober 2008. Ini bermakna sekali lagi para guru perlu berkorban masa dan waktu masing-masing supaya tidak menghabiskan keseluruhan cuti berhari raya semata-mata berhari raya. Ingatlah tugas kita yang perlu diselesaikan. Pada masa yang sama baiki kelemahan para pelajar kita yang masih perlukan bimbingan. Sekali lagi jangan lupa pertengahan bulan Oktober analisis markah percubaan perlu dikumpul dan digabungkan di peringkat daerah.

Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat berpuasa kepada semua warga pendidikan di daerah Hulu Selangor yang beragama Islam.

13 September 2008

UJIAN PRA PROTIM TAHUN 6

Taklimat sudah dibuat kepada semua Penolong Kanan sekolah rendah (SK/SJKC/SJKT) tentang pelaksanaan program ini. PROTIM tahun 6 perlu dilaksanakan proses praujian pada 15 September 2008, itu tarikh rasmi yang ditetapkan oleh BPK. Harap semua sekolah dapat melaksanakan praujian ini.

Program PROTIM ini telah dilaksanakan bagi tahun 4 lebih awal lagi. Kelas PROTIM tahun 4 sedang berjalan lagi pada masa sekarang. Ujian pasca akan dilaksanakan selepas ini. Harap pROTIM tahun 6 ini dapat dilaksanakan.

Pegawai-pegawai Akademik PPD Hulu Selangor akan cuba membuat pemantauan secara rawak terhadap beberapa buah sekolah pada minggu hadapan, bermula 15 September 2008. semoga program ini dilaksanakan dengan baik.

10 September 2008

CD SOALAN SBP SUMBANGAN SM SAINS HULU SELANGOR

Pihak kami telah mengedarkan sekeping CD soalan PMR dan SPM yang digunakan dalam peperiksaan percubaan peringkat Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Bahan ini adalah sumbangan daripada SM Sains Hulu Selangor. Terima kasih kita ucapkan.

Kita mengharap soalan-soalan yang disediakan ini dapat digunakan oleh semua sekolah di daerah ini. Bahan ini mungkin boleh digunakan bagi meningkatkan keputusan semua sekolah yang ada di daerah ini. Sila perbanyakkan soalan ini untuk murid masing-masing.

Jika terdapat sebarang masalah dalam menggunakan CD ini sila hubungi Penolong PPD Pengurusan Akademik PPD Hulu Selangor.

PERCUBAAN PMR DAERAH HULU SELANGOR 2008

Percubaan PMR tahun 2008 telah selesai dan data analisis telah dapat dikumpul dari semua sekolah dan digabungkan. Percubaan PMR menggambarkan keputusan yang diharapkan masih terlalu jauh daripada sasaran. Kita berharap semua sekolah dapat mengambil tindakan dalam masa terdekat.

Daripada SAP kita dapati jumlah calon yang menduduki peperiksaan ini ialah seramai 3340 orang daripada 3410 orang. Kita mengharap data yang diberikan oleh sekolah adalah benar. Daripada jumlah yang mengambil terdapat 1100 orang yang lulus. Ini mewakili 32.93%. Pastilah angka ini rendah berbanding keputusan PMR sebenar pada 2007, iaitu 69.72%. Walaupun ini hanya percubaan, tetapi kita gusar jika angka peratusan sebegini rupa menjadi kenyataan. Alangkah malangnya kita.

GPS secara keseluruhan ialah 3.42.

Subjak mendapat peratus yang baik ialah:
1. Bahasa Cina (94.36%) GPS(2.64)
2. Bahasa Tamil (91.61%) GPS(2.65)
3. Pengetahuan Agama Islam (87.28%) GPS(2.56)

Tiga subjek yang mendapat peratusan yang rendah ialah:
1. Matematik (41.51%) GPS(4.09)
2. Sains (52.39%) GPS(3.94)
3. Bahasa Inggeris (65.74%) GPS(3.58)

Daripada 3410 calon yang mengambil peperiksaan ini terdapat 475 orang gagal kerana gagal satu subjek sahaja (mewakili 13.93%). Jika ini dapat diselamatkan oleh semua sekolah yang terlibat kita ada tambahan peratusan sebanyak itu. Adalah angka peratusan sebanyak 46.86%. Ini tetap masih jauh daripada angka UPSR 2007, sedangkan kita mengharapkan lebih daripada itu, 73.00% sekurang-kurang.

Harap semua sekolah memberikan tumpuan khusus kepada kepada kumpulan pelajar seperti ini. Pada masa yang sama berikan tumpuan kepada yang boleh mendapat semuanya A dalam subjek yang diambil.

08 September 2008

RENCANA PPSMI DI UTUSAN MALAYSIA 4 SEPTEMBER 2008

Petikan daripada Utusan Malaysia online pada 04 September 2008.

Ramai guru Sains, Matematik lemah bahasa Inggeris

BESUT 2 Sept. - Guru yang mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik diminta meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka dengan memanfaatkan sepenuhnya pemberian Bayaran Imbuhan Subjek Penting (BISP) untuk tujuan itu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, imbuhan yang mereka terima sepatutnya digunakan untuk membeli buku atau menghadiri kelas tuisyen bahasa Inggeris bagi mempertingkatkan penguasaan bahasa itu.

''Ramai guru Sains dan Matematik dikesan menggunakan wang itu untuk tujuan lain menyebabkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan mereka masih di takuk lama,'' katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan pengetua dan guru besar serta guru penolong kanan sekolah daerah Besut di sini hari ini.
Razali berkata, sejak Program Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan, kerajaan telah membayar BISP kepada guru Sains dan Matematik berdasarkan kelulusan iaitu lima peratus tambahan daripada gaji untuk guru berkelulusan ijazah manakala 10 peratus pula untuk mereka yang berkelulusan diploma.

Beliau tidak menafikan PPSMI menghadapi sedikit masalah yang berpunca daripada kelemahan guru dalam menguasai kemahiran bahasa Inggeris untuk mengajar subjek itu.
Razali berkata, setakat ini kerajaan telah membelanjakan hampir RM5 bilion untuk program itu.
- Bernama

'Paksa rela' punca guru PPSMI lemah bahasa Inggeris

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Situasi 'paksa rela' dikesan sebagai antara punca utama yang menyumbang kepada kelemahan penguasaan bahasa Inggeris oleh guru-guru yang terlibat dalam Program Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, apabila dasar PPSMI dilancarkan beberapa tahun lalu, ramai guru dikerah menyertai program itu bagi menampung masalah kekurangan tenaga pengajar.

Katanya, keadaan itu merupakan 'hasil' daripada dasar PPSMI yang dicadang dan diluluskan secara terburu-buru tidak lama dahulu.

''Keadaan 'paksa rela' ini menyebabkan sesetengah sekolah turut mendapatkan khidmat ustaz dan ustazah bagi membantu menyemarakkan usaha PPSMI.

''Justeru, saya tidak nafikan bahawa memang terdapat guru-guru yang tidak fasih berbahasa Inggeris mengajar kedua-dua subjek itu dalam bahasa tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, yang meminta guru-guru berkenaan memanfaatkan sepenuhnya pemberian Bayaran Imbuhan Subjek Penting (BISP) untuk tujuan itu.
Menurut Razali, pihaknya mendapati ramai guru yang menggunakan BISP mereka untuk tujuan lain, seterusnya membantutkan penguasaan mereka dalam bahasa Inggeris.

Bagaimanapun Yim Pheng menegaskan, BISP tidak harus dihentikan kerana ia akan mewujudkan rasa kurang senang di kalangan guru-guru.

Katanya, pemberian BISP hanya wajar dihentikan apabila Kementerian Pelajaran dapat menyediakan jumlah guru yang mencukupi untuk PPSMI.

''PPSMI masih dalam fasa percubaan, jadi memang banyak kelemahan yang dikesan," jelasnya.

02 September 2008

BAGAIMANAKAH UPSR DAERAH HULU SELANGOR TAHUN INI?

Tidak lama lagi UPSR yang sebenar akan bermula. Tidak banyak masa untuk itu. Murid-murid perlu menyediakan diri pada saat terakhir. Para guru pula jangan abaikan anak didik kita itu.

Percubaan pada tahun ini Hulu Selangor hanya mendapat 60.80% dengan GPSnya 2.57. Pelajar yang mencapai cemerlang, semua A dalam peperiksaan ini hanya 92 orang daripada 4207 orang calon. peratusannya ialah 2.19 peratus. Masih terlalu kecil angkanya.

Paling menarik untuk direnung ialah seramai 457 orang gagal satu subjek daripada semua subjek yang mereka ambil. Angka ini mewakali 10.86%. Bayangkan jika semua sekolah dapat menyelamatkan semua murid ini supaya lulus 1 subjek berkenaan. Kita ada tambahan peratusan sebanyak 10.86%. Ini sudah mampu meletakkan angka daerah hingga lebih 70%. Ini angka sasaran daerah.

Semua sekolah diharap kenal pasti mereka ini. Senarai nama mereka boleh diambil daripada sistem SAP. Buatlah sesuatu supaya mereka boleh diselamatkan.

PENGUMPULAN DATA SAP PERCUBAAN PMR 2008

Assalamualaikum......

Kepada semua sekolah menengah, khasnya guru yang diberi tanggungjawab menguruskan sistem SAP Percubaan PMR, harap besok 3hb September 2008 semua data analisis ini dapat dibereskan. Kejayaan penggabungan semua data peringkat daerah bergantung pada tuan-tuan semua. Oleh itu, semoga semua perkara yang perlu dapat dibawa dalam mesyuarat penyelarasan.

Sebarang masalah dalam data sekolah masing-masing akan mendatangkan masalah dalam penggabungan data peringkat daerah. Jangan lupa hadir mesyuarat esok dan sediakan semua maklumat dan data dalam SAP masing-masing.

Walaupun bulan puasa, rasanya tidak menjadi masalah untuk melaksanakan tugas tersebut. Rasanya bulan puasa akan menjadikan tugas kita lebih efisein.

Jumpa esok dalam mesyuarat kita tersebut.