PEGAWAI-PEGAWAI PENGURUSAN AKADEMIK

30 August 2008

SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL 3/ 1987

Tugas pemantauan atau penyeliaan guru-guru bukan sahaja dijalankan oleh pihak Nazir, Jabatan Pelajaran atau Pejabat Pelajaran Daerah, malah juga perlu dilaksanakan oleh pihak pentadbir sekolah sendiri. Kita teliti pekeling ini:

SURAT PEKELING IKHTISAS BIL 3/1987
Penyeliaan Pengajaran pembelajaran di dalam kelas oleh Pengetua/Guru Besar Sekolah.

Tugas dan fungsi Pengetua/Guru Besar sebagai pemimpin profesionalisme, pengurus dan pentadbir hari ini adalah berbagai-bagai. Sebagai pemimpin profesionalisme di sekolahnya, tanggungjawab utama seorang Pengetua/Guru Besar ialah untuk memastikan kejayaan pelaksanaan kurikulum di sekolahnya. Pelaksanaan kurikulum dijalankan melalui proses dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran oleh guru dan keberkesanan pelaksanaan kurikulum di sekolah memerlukan penyeliaan yang rapi dan sistematis dari pihak Pengetua/Guru Besar sekolah itu. Ini termasuklah penyeliaan pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas sepatutnya menjadi perkara yang diutamakan dalam senarai tugas dan tanggungjawab Pengetua /Guru Besar. Oleh itu dengan tujuan memperingatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah, Pengetua / Guru Besar diperingatkan bahawa penyeliaan dan pengajaran dalam kelas adalah tugas yang amat penting.

Berikut adalah syor garis panduan bagi melaksanakan tugas penyeliaan dalam kelas:

Rasional.
Pelaksanaan kurikulum adalah unsur TERAS dalam institusi persekolahan. Dengan itu perhatian yang lebih hendaklah diberikan kepada penyeliaan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Sebagai pemimpin profesionalisme di sekolah Pengetua/Guru Besar adalah pelaksana utama kurikulum di sekolahnya. Oleh itu tugas penyeliaan pengajaran dan pembelajaran adalah tugas penting yang yang perlu dititikberatkan.

Penyeliaan adalah satu aspek terpenting dalam pentadbiran, pengurusan dan kepimpinan pendidikan.Oleh itu penyeliaan tidak boleh dipisahkan daripada peranan Pengetua/Guru Besar sebagai pengurus, pentadbir dan pemimpin profesionalisme di sekolahnya.

Tujuan:

Mempertingkatkan daya profesionalisme Pengetua/Guru Besar dan guru-guru dalam melaksanakan kurikulum sekolah melalui pengajaran dan pembelajaran sejajar dengan falsamah, matlamat dan objektif sistem pendidikan negara.

Berkongsi pengetahuan dan pengalaman bagi meluaskan sumber maklumat kepada Pengetua/Guru Besar bagi memperbaiki proses pengajaran dan pembelajaran di sekolahnya.Sumber maklumat ini juga boleh digunakan oleh Pengetua/Guru Besar sebagai asas untuk menilai seorang guru bagi tujuan tertentu.

Memupuk, memelihara dan memperkukuhkan hubungan profesionalisme dan intraksi yang positif antara Pengetua/Guru Besar dengan guru, guru dengan guru dan antara guru dengan murid.

Membantu guru-guru menjalankan tugas harian dengan lebih berkesan dan membentuk sikap guru ke arah yang lebih positif.

Bidang:

Penyeliaan pengajaran dan pembelajaran hendaklah hendaklah ditumpukan kepada 2 (dua) bidang
bidang organisasi dan
bidang pengajaran dan pembelajaran

Bidang organisasi:
Antara isi organisasi yang perlu diberi perhatian ialah:
Iklim kelas:
-organisasi kelas
-kawalan murid
-komunikasi
-motivasi
-sikap murid
-kebersihan dan perhiasan
-penyeliaan gerak kerja
-penilaian prestasi
-profil murid
-panitia mata pelajaran

Kesemua ini adalah merupakan petunjuk yang boleh membrangsang keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Bidang Pengajaran dan pembelajaran

Antara ciri-ciri yang perlu diperhatikan ialah:

-Rancangan pengajaran (Objektif dan isi kandungan)
-Persediaan alat/bahan pengajaran dan pembelajaran
-Penyampaian isi pelajaran
-Teknik bersoal jawab
-Intraksi guru murid
-Penggunaan masa

Prinsip pelaksanaan:

Penyeliaan pengajaran dan pembelajaran hendaklah dijalankan oleh Pengetua/Guru Besar atas semua guru.

Rekod penyeliaan pengajaran dan pembelajaran di kelas hendaklah dicatat dengan ringkas dan tepat.

Penyeliaan pengajaran dan pembelajaran hendaklah dirancang dengan seimbang dari segi masa, mata pelajaran, tingkatan /tahun dan guru.

Tugas penyeliaan boleh dijalankan dengan bantuan Penolong Kanan dan Penyelia Petang. Walau bagaimanapun tanggungjawab sepenuhnya terletak di tangan Pengetua/Guru Besar.

Jika ingin membaca sepenuhnya isi kandungan pekeling ini sila dapatkan SPI 3/1987 ini dengan melakukan muat turun daripada laman web Kementerian Pelajaran Malaysia.

No comments: