PEGAWAI-PEGAWAI PENGURUSAN AKADEMIK

14 June 2007

Petikan ini KUTV ambil daripada berita BERNAMA hari ini, sebagai renungan bersama. Guru-guru sendiri sepatutnya tidak ketepikan ICT dalam tugasan pada masa sekarang supaya tidak terpinggir dari zaman ICT ini.

June 14, 2007 17:02 PM

KSN Mahu Sektor Awam Manfaatkan E-mel Untuk Tingkat Sistem Penyampaian
KUCHING, 14 Jun (Bernama) -- Ketua jabatan dan pegawai kanan kerajaan patut memanfaatkan sepenuhnya kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), terutamanya mel elektronik atau e-mel untuk meningkatkan sistem penyampaian awam, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Beliau berkata kakitangan awam umumnya responsif terhadap kemudahan e-mel tetapi cabarannya ialah untuk sentiasa memastikan tindakan pembaikan dan penyelesaian terhadap isu atau aduan orang ramai diambil segera."

Dalam kes saya, saya menerima kebanyakan daripada komunikasi saya menerusi e-mel dan saya pasti ketua setiausaha kementerian dan setiausaha negeri masing-masing juga demikian," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada mesyuarat Pengurusan Modal Insan Ke Arah Sistem Penyampaian Yang Cemerlang peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Katanya kerajaan di landasan yang betul dalam menyediakan perkhidmatan online seperti bagi permohonan permit dan lesen dan pembayaran pelbagai cukai berikutan semakin ramai orang kini menyedari pentingnya kemudahan seumpama itu.

Ditanya jika kerajaan persekutuan mempunyai perancangan untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau kira-kira 1.01 juta kakitangan awam semasa waktu pejabat, Sidek berkata apa yang lebih penting ialah menanamkan budaya kerja cemerlang di kalangan tenaga kerja melalui kursus ulang kaji.

Walaupun CCTV dipasang di tempat awam yang strategik bagi tujuan keselamatan, beliau berkata adalah sukar untuk memasang CCTV di setiap tempat kerja di semua jabatan dan agensi kerajaan.

Oleh itu, kerajaan telah menubuhkan Institut Integriti Malaysia di setiap negeri di samping bekerjasama dengan Badan Pencegah Rasuah bagi memastikan integriti dan ketelusan dalam pelaksanaan dasar-dasar kerajaan, katanya.

Terdahulu, beliau berkata kebanyakan aduan yang diterima terhadap perkhidmatan awam melibatkan sikap penjawat awam yang tidak peka dan responsif mengenai pertanyaan atau aduan yang dikemukakan oleh orang ramai."

Sekiranya ini berterusan berlaku, ianya sudah tentu memberikan imej yang kurang baik terhadap mutu perkhidmatan yang kita berikan. Sudah tentu mereka akan melahirkan rasa tidak puas hati terhadap penjawat awam lebih-lebih lagi selepas kerajaan mengumumkan kenaikan gaji sektor awam pada 21 Mei yang lalu ," katanya.

Menurutnya agensi kerajaan perlu dinamik mengikut permintaan dan kehendak pelanggan kerana cara kerja lama yang disulami kerenah birokrasi harus diubah dan dipermudahkan.--

BERNAMA

Semoga semua rakan dalam pendidikan juga menerima saranan Ketua setiausaha Negara ini. Perkara ini sebenarnya sudah terlalu kerap saya sebut dalam setiap perjumpaan dengan guru-guru daerah Hulu Selangor, jika saya berkesempatan. Rakan-rakan di PPDHS, saya harap marilah kita bergerak ke arah itu.

Semoga kita sama-sama memertabatkan profesen keguruan seperti yang termaktub dalam teras kelima PIPP, MEMARTABATKAN PROFOSEN KEGURUAN.

KUTVPPDHS
14.06.2007

No comments: