PEGAWAI-PEGAWAI PENGURUSAN AKADEMIK

10 December 2006

MAKMAL KOMPUTER DI DAERAH HULU SELANGOR

Kedudukan makmal Komputer di sekolah-sekolah dan peranan penyelaras makmal

Peranan Penyelaras makmal komputer di sekolah amat besar. Makmal komputer dan peralatan di dalamnya adalah pemberian besar Kementerian Pelajaran Malaysia kepada sekolah, demi untuk melihat murid dan pelajar mendapat kemudahan yang baik dalam pengajaran & pembelajaran terutamanya luar bandar. Hulu Selangor sudah pasti dikategorikan sebagai luar bandar.
Kita semua pasti tidak mahu melihat makmal komputer tidak diuruskan dengan baik. Semoga semua pihak yang berkaitan di sekolah peka dengan hal ini. Semua penyelaras makmal perlu mengambil langkah yang wajar untuk memastikan pengurusan makmal ini berjalan dengan baik dan teratur. Gunakan semua maklumat yang disediakan sebelum ini sebagai rujukan untuk melaksanakan pengurusan yang cemerlang.
Pasti sesiapa yang datang memantau ke sekolah akan sedih apabila melihat makmal komputer tidak terurus. Bagaimana rasa hati pemantau atau sekolah yang dipantau sendiri apabila melihat makmal komputer tidak digunakan dengan baik untuk pengajaran & pembelajaran. Semua ini memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pihak di sekolah. Penyelaras makmal komputer sahaja pasti tidak mampu menguruskan sendirian. Pengurusan makmal komputer yang baik biasanya datang daripada kerjasama yang jitu daripada pihak pentadbir dan AJK yang menguruskannya.
Dalam proses pembestarian sekolah, diharap semua kita yang bertanggung jawab dengan makmal komputer ini dapat bertindak dengan wajarnya. Marilah kita wujudkan makmal komputer yang kondusif dan menjadi tempat kesukaan pelajar. Rasanya sudah ramai guru-guru yang mempunyai kemahiran ICT di daerah ini. Jika peratusan diambil kira, lebih 43% guru-guru telah menghadiri kursus BPPT, pasti mereka mahir menggunakan kemudahan ICT untuk pengajaran & pembelajaran, dan lebih 90% telah ada kemahiran asas ICT. Pentadbir sekolah, seharusnya bergerak bersama-sama dengan jawatankuasa ICT dan makmal komputer sekolah untuk memastikan makmal komputer diuruskan secara cemerlang. Guru-guru sudah mempunyai kemampuan untuk melakukan pengajaran & pembelajaran menggunakan kemudahan ICT, gembelingkan semua sumber tenaga pendidik yang ada supaya makmal komputer benar-benar nampak digunakan secara optimum.
Pada sesi 2007, pertandingan pengurusan makmal komputer akan akan dilaksanakan. Pemantauan akan terus dilaksanakan oleh pihak PPD dan JPNS. Walau bagaimanapun janganlah pengurusan makmal ini hanya dilaksanakan kerana pertandingan semata-mata. Uruskanlah makmal komputer ini secara berterusan.
Semoga program ICTL sekolah rendah yang berjalan sekarang dapat menggerakkan semua pendidik menggunakan kemudahan yang tersedia. Janganlah ada di kalangan pendidik berkenaan menjalankan pengajaran program ini di dalam kelas biasa. Program yang sama akan dilaksanakan di sekolah menengah pada sesi 2007, kita juga berharap program ini dapat menggerakkan semula penggunaan makmal komputer di sekolah.
Dengan rasa penuh tanggung jawab, saya memohon kerjasama semua dalam hal ini. Bagi rakan-rakan penyelaras yang telah menggerakkan pengurusan mereka lebih awal, tahniah diucapkan. Walau bagaimana pun tidaklah patut kita terhenti di situ sahaja. Kita sebenarnya dituntut untuk melakukan penambahbaikan terhadap segala aspek. Tidak ada perkataan 'mantain' dalam pengurusan pendidikan jika kita rujuk kepada konsep kepimpinan instruksional. Setiap kejayaan yang tersedia pun seharusnya dipastikan ada penambahbaikan terlaksana. Apatah lagi jika masih tidak mencapai tahap yang sepatutnya.
disediakan oleh
KUTV PPDHS
10.12.2006

No comments: