PEGAWAI-PEGAWAI PENGURUSAN AKADEMIK

27 January 2008

PENAWARAN SUBJEK MPV DI SEKOLAH AKADEMIK BIASA

Tuan-tuan dan puan-puan boleh membaca maklumat pelaksanaan subjek MPV di sekolah harian melalui link berikut:
http://myschoolnet.ppk.kpm.my/lamanmpv/laksana.htm

Penerangan ringkas bagi 22 subjek MPV juga disertakan di dalamnya. Selamat membaca dan mendapatkan maklumat berkaitan.

PETIKAN BERITA HARIAN

Empat aspek diutama pertingkat pendidikan

Oleh Syuhada Choo Abdullah

Pentadbir sekolah, guru perlu kerjasama pacu kecemerlangan


SEKURANG-KURANGNYA empat perkara perlu diberi penekanan utama dalam penggemblengan usaha dan komitmen warga pendidik mempertingkatkan kecemerlangan pendidikan negara, tahun ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata satu daripadanya ialah menjadikan semua sekolah sebagai institusi pembelajaran menarik dan berkesan.

Dalam konteks ini, beliau berkata, antara aspek penting perlu dititikberatkan ialah penyediaan infrastruktur yang sentiasa kemas, bersih serta teratur, termasuk bilik darjah dengan persekitaran kondusif dan selesa yang mampu menjana minat pelajar menimba ilmu pengetahuan serta menjalani keseluruhan proses pendidikan dengan baik.

“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia memainkan peranan cukup signifikan dalam membantu memacu kecemerlangan pendidikan negara,” katanya kepada Berita Harian sempena sambutan tahun baru, semalam.

Seterusnya, Alimuddin berkata, pengetua dan guru besar perlu menjalinkan hubungan kerjasama utuh dengan pihak guru untuk memastikan kelancaran agenda mempertingkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Bagi mencapai matlamat itu, katanya, mereka juga perlu sentiasa membuat pemantauan terhadap proses pengajaran guru di bilik darjah, sekali gus memberi bimbingan untuk penambahbaikan berterusan.

Selain itu, beliau berkata, guru wajar sentiasa meningkatkan keupayaan diri serta mengambil inisiatif memanfaatkan alat bantu mengajar terkini seperti kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai strategi meningkatkan kualiti serta keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

“Satu lagi perkara yang mesti diberi tumpuan serius sepanjang tahun baru ini ialah melengkapi pelajar dengan pelbagai kemahiran melalui kegiatan kurikulum dan juga kokurikulum.

“Pihak sekolah mesti berperanan mengadakan pelbagai aktiviti pembangunan kemahiran pelajar seperti dari segi komunikasi, kreativiti dan inovasi, berbahasa serta penguasaan ICT.

“Di samping itu, memantapkan pembangunan sahsiah pelajar dan menggalakkan mereka supaya sentiasa bersaing secara sihat untuk mencapai kejayaan,” katanya.

Tidak ketinggalan, Alimuddin berkata, pihak sekolah perlu berusaha merapatkan hubungan dengan ibu bapa serta agensi luar menerusi program kerjasama untuk membantu meningkatkan kualiti pendidikan institusi masing-masing.

Beliau berkata, ini kerana pihak berkenaan memiliki kelebihan dari segi kewangan dan juga kemahiran, secara langsung boleh memberi bimbingan demi kepentingan pembangunan di sekolah.

Dalam pada itu, katanya, pengetua, guru besar dan keseluruhan warga pendidikan diharap meneruskan azam, tekad serta semangat tahun baru untuk berusaha mencapai matlamat Pelan Tindakan Pembangunan Pendidikan (PTPP).

“Pengetua dan guru besar harus memastikan sekolah masing-masing terus diperkasa dan berkembang maju mencapai matlamat ditetapkan Kementerian Pelajaran.

“Bagi pelajar pula, manfaatkan peluang pendidikan disediakan kerajaan seperti pemansuhan yuran khas sekolah dan pemberian buku teks percuma mulai tahun ini,” katanya.

Semoga petikan ini akan memudahkan semua pendidik untuk membuat pembacaan jika diperlukan. Terima kasih.

BERITA-BERITA SAINS & TEKNOLOGI

Berikut disertakan pautan berkaitan berita tentang Sains & Teknologi yang dipaparkan dalam Portal Pendidikan Utusan untuk bacaan bersama. Sila kilik pada sambungan ini:
http://www.tutor.com.my/tutor/dunia.asp?sec=Sains_%26_Teknologi

Semoga mendatangkan manfaat kepada kita semua.